Sila lihat "KATEGORI" sebelah kiri anda...

Produk-produk akan dikemaskini dari masa ke semasa... Berkunjunglah selalu ye...

Terima Kasih...

Wednesday, July 22, 2009

7 TIP MENJADI USAHAWAN MUSLIM CEMERLANG

Melihat senario ekonomi negara kita Malaysia yang kebanyakannya di monopoli oleh peniagaan bukan Islam sedangkan jumlah penduduknya secara majoritinya adalah muslim. Untuk mendapatkan bekalan khususnya makanan dan bahan penyediaan makanan yang halal memang sudah dirasakan kesukarannya sejak dahulu lagi, walaupun pelbagai usaha dijalankan untuk memantau kebersihan dan jaminan halal ini namun semuanya makin belum sepenuhnya dapat di banteras. Masih terdapat ramai pengusaha dan peniaga yang lalai dan mengambil ringan perkara ini. Namun apa yang ralatnya ialah perniagaan makanan dan bekalan mentah adalah dijalankan dan diusahakan oleh orang bukan Islam yang sudah tentunya tidak terlalu mementingkan halal dan kebersihan mengikut hukum yang telah ditetapkan oleh Islam sehinggakan inti kacang yang digunakan untuk membuat roti goreng itu pun didapatkan daripada pengusaha cina yang bukan Islam. Di mana menghilangnya peniaga dan pengusaha muslim? Adakah mungkin faktor pengusaha muslim ini sukar untuk hidup dan maju dalam bidang usahawan kerana tiada galakan dan sambutan daripada pengguna Islam yang kurang menyokong? Ataupun mungkinkah juga kerana saingan daripada peniaga bangsa lain yang terlalu sengit sehinggakan peniaga Islam ini tidak mampu bertahan lama lalu lingkup tanpa meninggalkan walau hanya debu pun? Namun apa yang kita perhatikan adalah antara punca utama usahawan dan peniaga muslim kurang maju dalam perniagaan adalah kerana saingan dengan bangsa lain yang terlalu hebat, namun sebenarnya ia masih boleh diatasi sekiranya perniagaan itu dijalankan menurut panduan yang telah digariskan dalam Islam.
Berikut adalah beberapa tip yang boleh dijadikan panduan kepada seluruh usahawan dan peniaga Islam yang ingin maju dan mengorak langkah dengan jayanya dalam perniagaan dan perusahaan.
1) Keuntungan bukanlah menjadi matlamat utama.
Jadikanlah matlamat utama berniaga adalah untuk mencapai dan mendapatkan keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT. Sekiranya berniaga dengan niat untuk mendapat keuntungan sahaja kita akan mudah terpesong dan melanggar prinsip perniagaan dalam Islam. Perniagaan yang diberkati adalah perniagaan yang dijalankan secara jujur, telus dan menjadikan pelanggan itu seperti saudara sendiri.
2) Jujur dan Telus
Usahawan yang jujur akan mudah mendapat tempat di hati pembeli dan pelanggan. Justeru, hubungan yang baik antara pelanggan dan peniaga akan terbina sekiranya tiada unsur-unsur mengambil kesempatan dan mengambil untung yang melampaui batas ke atas pelanggan. Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda bahawa akan di masukkan peniaga yang jujur dan telus itu ke dalam syurga bersama rasul-rasul Allah dan mereka yang beriman.
3) Terbuka dengan kritikan
Usahawan yang ingin berjaya tidak pernah takut dan memandang negatif ke atas setiap kritikan yang diberi oleh sesiapa sahaja terhadapnya mahupun produknya. Walaupun kenyataannya kritikan itu sesuatu yang amat pahit untuk ditelan namun ianya perlu dilihat daripada sudut pandangan yang positif agar dapat bertindakbalas dengannya dan memperbaiki keadaan. Sikap sebeginilah yang menujukkan anda seorang yang berani dalam melakukan perubahan dan pembaharuan demi memenuhi keperluan pengguna.
4) Utamakan kebersihan
Kebersihan dalam penghasilan produk pemakanan adalah amat dituntut di dalam Islam. Menjaga kebersihan bukan sahaja mengelakkan daripada mendatangkan kemudharatan tetapi menghadirkan perasaan selesa kepada pengguna itu sendiri. Apabila timbulnya perasaan selesa tersebut, hati pelanggan akan mudah terikat dengan produk yang dihasilkan dan juga perkhidmatan yang ditawarkan.
5) Mempunyai impian dan matlamat yang tinggi
Walau dalam apa jua bidang yang diceburi kita perlulalah bercita-cita tinggi termasuklah juga dalam bidang usahawan ini. Usahlah takut untuk mencipta dan berimpian yang besar jika kita punya kemampuan dan keupayaan untuk mencapainya. Sebagai contohnya anda bermula dengan perniagaan warung yang kecil dan seterusnya mempunyai restoran yang sederhana besar, kemudian ingin membuka beberapa rangkaian di seluruh daerah dan seterusnya negeri. Bukan susah untuk merancang, tetapi apa yang sukarnya ialah untuk melaksanakannya., namun anda masih punya pilihan samada untuk membiarkan sahaja impian itu berkubur kerana semangat anda yang lemah atau meneruskan dan menjadikannya satu kenyataan. Segala keputusan dan hasil adalah berada di tangan anda, namun yang penting jangan lupa untuk memanjatkan doa memohon pertolongan daripada Allah SWT.
6) Bekerjasama dengan saingan dalam pasaran yang sama
Mentaliti masyarakat melayu yang suka dengki, hasad dan ingin untung seorang ini haruslah di kikis dan dibuang terus. Kalau bukan kerana sikap ini mungkin tidak akan ada peniaga yang dibomohkan dan disantaukan oleh orang-orang tertentu yang tidak senang dengan kejayaan seseorang itu. Kita boleh mengambil contoh peniaga bukan Islam seperti bangsa cina contohnya. Mereka benar-benar tolong menolong sesama mereka dalam perniagaan. Seperti pengalaman seorang pelajar ini yang ingin membeli telefon bimbit di sebuah kedai di ibu kota, namun model yang diinginkan tiada di kedai tersebut, tetapi peniaga cina ini tidak membiarkan pelanggannya itu berlalu begitu sahaja sebaliknya membawanya ke kedai yang berhampiran untuk membantunya membuat pilihan di sana. Perkhidmatan ini sangat memuaskan hati pelajar tersebut. Bagaimanakah peniaga cina tersebut boleh melakukan sebegitu sedangkan dia tidak mendapat sebarang untung pun di situ, hebat sungguh cara berbisnes bangsa cina ini.
Perbuatan jatuh- menjatuhkan sesama peniaga juga tidak haruslah berlaku dalam perniagaan Islam, sebaliknya haruslah bergandingan memajukannya. Menubuhkan persatuan peniaga juga boleh dipertimbangkan sebagai medan perbincangan dalam menyelesaikan masalah yang berlaku dalam perniagaan. Melaluinya juga para peniaga boleh bertukar-tukar pendapat dan fikiran dan juga pengalaman untuk mengembangkan lagi perniagaan.
7) Sesekali tidak menjual barangan haram
Ada sebilangan peniaga yang tidak menganggap penjualan barangan yang haram ini sebagai satu perkara yang harus dijauhi. Barangan yang haram ini bukanlah sahaja seperti yang kita maklum iaitu arak, daging babi atau yang bersangkutan dengannya tetapi barangan curi, barangan yang boleh memudaratkan seperti dadah dan sebagainya, barangan yang salah di sisi undang-undang seperti penjualan senjata api dan daging binatang liar tanpa lesen yang sah juga dikategorikan sebagai barangan haram. Perniagaan dalam Islam ini haruslah barangan dan perniagaan yang tidak melibatkan barang yang mutashabihat( ragu) daripada segi kandungan dan pembuatannya. Islam terlalu luas skopnya namun kenapa masih ada di antara kita yang masih ingin melibatkan dalam perkara syubhah begini.
Usahawan muslim perlulah mengambil langkah yang lebih tangkas dan cekap dalam memajukan bisnes yang melibatkan penghasilan makanan bagi umat Islam ini. Kandungan dan penjualan makanan umat Islam kini semakin tidak diambil peduli dan dipandang ringan oleh sesetengah pihak berwajib. Pengguna juga kurang mengambil berat apa yang dimakan mereka, tidak kira samaada makanan itu halal ataupun tidak, apa yang penting bagi mereka adalah sedap. Seharusnya kita sebagai umat Islam perlu menitik beratkan soal pemakanan ini sebab ia akan menjadi darah daging kita. Bantulah usahawan muslim untuk terus hidup dan maju dalam perusahaan mereka. Wallahua’alam.
Sumber : fitrahpower.com

No comments: